mutakhir

Lupus 8,213 'teman' judi [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kulai: Polis Kontinjen Johor melupuskan 8,213 mesin judi dalam talian bernilai RM800,000 susulan 687 serbuan ke atas premis judi yang beroperasi di negeri itu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, semua mesin judi itu hasil rampasan dari Januari hingga Julai tahun ini.

“Sepanjang tempoh itu, 687 serbuan dengan jumlah tangkapan 3,278 orang dan 8,213 mesin perjudian dirampas,” katanya pada sidang media sempena Program Pelupusan/Pemusnahan Barang Kes Judi Online (dalam talian) di Balai Polis Kulai di sini, semalam.

Katanya, Polis Kontinjen Johor bertindak agresif dalam menangani isu judi haram.

Beliau berkata, tindakan pelaksanaan waran geledah melalui perintah mahkamah turut dilaksanakan secara berperingkat.

“Sehingga kini 140 premis diambil tindakan ke atas waran yang dikeluarkan dan tindakan melupuskan mesin perjudian dilaksanakan selepas mahkamah mengeluarkan perintah untuk memusnahkannya.

“Barang yang mendapat perintah untuk dimusnahkan seperti 1,105 komputer, 492 komputer riba, 413 mesin pusat hiburan keluarga (PHK), 33 tablet dan 17 telefon,” katanya.

Beliau berkata, semua rampasan itu membabitkan serbuan di beberapa daerah di Kontinjen Johor iaitu Johor Bahru Selatan (JBS), Johor Bahru Utara (JBU), Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Pontian.

Katanya, siasatan mendapati sindiket perjudian mengaplikasikan perkembangan teknologi untuk meraih keuntungan lebih.

“Modus operasi berubah daripada mesin simulator terdahulu kepada mesin perjudian menggunakan komputer riba, tablet, komputer dan telefon pintar,” katanya.

Katanya, pihaknya menggesa orang awam menyalurkan maklumat jika mendapati aktiviti itu masih wujud di kawasan setempat.

“Segala pandangan yang disuarakan pelbagai pihak tidak dipandang ringan dan kami akan melipatgandakan usaha bagi memastikan judi dapat dibendung.

“Kerjasama semua jabatan termasuk tindakan bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 10:51am
d