utama

Nak rehat sebentar di hotel katanya...

Oleh Azahar Hashim

SANGGUP datang sejauh 32 kilometer dari Selama, Perak ke Kulim, Kedah bagi melakukan kegiatan tidak bermoral, remaja berusia 16 tahun ditahan bersama lelaki berusia 21 tahun selepas disyaki berkhalwat di hotel bajet sekitar Kulim, malam tadi.

Pasangan terbabit antara tiga pasangan yang ditahan Pejabat Agama Daerah Kulim, Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dalam serbuan Ops Bajet 2 yang dilakukan bermula 11.30 malam hingga 3 pagi di dua lokasi berasingan iaitu di Lunas dan Keladi.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, soal siasat awal ke atas remaja perempuan berusia 16 tahun juga mendapati dia yang tidak lagi bersekolah datang bersama pasangannya dari Selama, Perak.

“Selain itu, turut ditahan di hotel bajet sekitar Lunas pasangan membabitkan remaja perempuan berusia 18 tahun dan lelaki berusia 19 tahun.

“Kedua-dua pasangan terbabit mendakwa datang ke daerah ini untuk bersiar dan makan malam sebelum berehat di hotel berkenaan dengan kadar sewa bilik RM25 sejam,” katanya.

Menurut Anwar, pekerja hotel di Lunas pada mulanya enggan bekerjasama apabila mendakwa semua bilik di premis berkenaan kosong.

Sementara itu dalam serbuan di Keladi, menemui seorang wanita berusia 23 tahun dan lelaki berusia 44 tahun tanpa ikatan perkahwinan sah.

"Semua pasangan yang ditahan dibawa menaiki van jenazah ke Balai Polis Kulim bagi membuat laporan tangkapan dan rekod.

"Kedua-dua hotel ini memang menjadi sasaran pasangan melakukan maksiat kerana mengenakan kadar sewa mengikut jam dan sudah sering diserbu pihak berkuasa," katanya.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 25(a)(b)Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana berkhalwat.

"Kita akan terus memantau kegiatan jenayah syariah di daerah ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berlakunya maksiat boleh memaklumkan kepada kami," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 11:05am
d