mutakhir

Pistol 50,000 voltan

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) perlu membawa bersama pistol perenjat elektrik (taser gun) ketika melakukan tugas rondaan harian, sekali gus mengelak kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, beliau mahu senjata tidak membawa maut (non-lethal weapon) itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota ketika bertugas.

“Sehingga kini di Kontinjen Pahang, kita ada 56 senjata ini dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kita tempatkan tiga taser gun, tetapi kebanyakannya jarang dibawa anggota.

“Jadi saya minta selepas ini, setiap kali anggota MPV keluar bertugas, mereka perlu bawa taser gun ini dan ia digunakan sebaik mungkin.

“Lebih-lebih lagi dalam mengurangkan kejadian tidak diingini terhadap anggota polis ketika cuba menahan individu yang bertindak agresif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengendalian Taser Gun Siri 1/2018 Kontinjen Pahang di Alor Akar di sini, semalam.

Seramai 23 anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan MPV seluruh negeri menyertai kursus berkenaan yang diadakan selama tiga hari, berakhir hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Senior Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusoff Ali.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, penggunaan pistol perenjat elektrik adalah senjata alternatif dalam menangani situasi kecemasan tertentu yang tidak memerlukan penggunaan senjata api.

“Kebiasaannya ia akan digunakan untuk menangkap penjenayah atau individu yang bertindak agresif hingga boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau orang di sekeliling.

“Antara situasi memerlukan penggunaan senjata ini ialah ketika mahu menahan orang kurang siuman yang mengamuk atau suspek yang bertindak di luar kawalan. Senjata renjatan elektrik ini adalah alternatif terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kursus pengendalian senjata itu boleh dilaksanakan secara gabungan antara daerah supaya semua anggota yang terbabit dapat mengendalikan alat itu dengan baik ketika penugasan masing-masing.

“Jadi JPJKK perlu mengenal pasti anggota barisan hadapan untuk mengikuti kursus ini dalam siri seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 5:28am
d