bisnes

AmBank, Digi perkenal kod QR vcash

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: AmBank (M) Bhd (AmBank) meningkatkan strategi digitalnya dengan memperkenalkan kod QR vcash Digi sebagai perkhidmatan pembayaran tambahan menerusi kerjasama dengan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, usaha sama itu bertujuan membantu memacu pertumbuhan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menggunakan pembayaran elektronik (e-pembayaran).

Katanya, usaha sama itu juga menyasarkan untuk membolehkan 10,000 terminal jualan (POS) AmBank menerima penyelesaian e-pembayaran Digi dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Kerjasama ini merangkumi dua pendekatan. Pertama, terminal POS AmBank boleh menerima transaksi kod QR vcash menerusi aplikasi mudah alih Digi. Pengguna vcash hanya perlu mengimbas kod QR terbabit untuk melakukan pembayaran.

“Kedua, Digi akan mendaftarkan peniaga PKS dalam program Master Merchant bersama AmBank. Ini akan meningkatkan pembayaran vcash dan menyumbang kepada pertumbuhan asas peniaga AmBank,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kerjasama dengan Digi itu juga selari dengan usaha syarikat perbankan berkenaan dalam meluaskan tawaran produk kepada pelanggan sedia ada dan baru di samping kekal relevan dalam landskap digital.

“Ia juga sebahagian daripada usaha syarikat untuk menyokong agenda Bank Negara Malaysia (BNM) dalam peralihan kepada e-pembayaran dengan Malaysia menuju ke arah ‘masyarakat tanpa tunai’.

“Dalam perkembangan teknologi pembayaran e-dompet, kami akan terus menjalinkan usaha sama strategik untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

“Sementara itu, kami juga akan memperkenalkan promosi e-Remittance untuk pelanggan menghantar wang ke luar negara dengan fi berpatutan. Dalam usaha transformasi digital AmBank, kami sedang mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian baharu untuk memastikan pengalaman perbankan dalam talian lebih mudah,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 12:57pm
d