rap

Kesian Masdo tak dapat ke London

Oleh Najiy Jefri

HASRAT Kugiran Masdo untuk merakamkan single terbaru yang dihasilkan kumpulan antarabangsa The Bootleg Beatles di London bulan ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Menurut vokalisnya, Ali Sariah, rakaman terbabit ditunda atas kekangan kewangan tidak mencukupi bagi menampung kos perbelanjaan di sana.

"Kami terpaksa tunda rakaman itu kerana berdepan masalah kewangan.

"Mengikut jadual kami berada di London selama seminggu, jadi ia memerlukan kos tinggi seperti bayaran penginapan, pengangkutan, tiket penerbangan dan kos rakaman," katanya.

Ali berkata, rakaman terbabit akan tetap dilakukan meski berdepan masalah kewangan.

"Jika tiada aral melintang, kami akan ke London pada November ini. Bagaimanapun kami berharap impian ini akan tercapai dan proses untuk ke sana berjalan lancar," katanya.

Terdahulu kumpulan dianggotai Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal), Asmawi (gitar/vokal) dan Ali Sariah (vokal utama/gitar) itu memberitahu menerima pelawaan merakamkan single daripada kumpulan The Bootleg Beatles selepas mereka membuat persembahan pembukaan sempena sesi konsert jelajah kumpulan berkenaan di Kuala Lumpur tahun lalu.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 6:18pm
d