bisnes

Potongan 45% pendaftaran Hibah Amanah

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB), menawarkan potongan harga 45 peratus untuk pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah bagi tempoh 1 Ogos hingga 31 Oktober 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pada tempoh promosi berkenaan, pelabur hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM100 berbanding harga biasa iaitu RM180 untuk satu kontrak Hibah Amanah (pelabur Islam) atau Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam).

Beliau berkata, bagi setiap kontrak, pelabur boleh menamakan sehingga 10 penerima untuk pelaburan dalam unit amanah ASNB.

“Promosi ini bertujuan menggalakkan pelabur ASNB mengambil langkah proaktif menguruskan harta berbentuk unit amanah ASNB ketika mereka masih hidup supaya dapat dituntut dengan mudah oleh waris.

“Berdasarkan pengalaman kami, pelaburan dalam unit amanah ASNB adalah pelaburan tunai, kebiasaannya diperlukan oleh waris untuk menampung keperluan sara hidup sementara menunggu harta lain yang ditinggalkan si mati dapat diagihkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohammad berkata, dengan adanya Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, pelaburan dalam unit amanah ASNB boleh dituntut terlebih dahulu.

“Bagi hal ini, waris hanya perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 hari untuk menerima unit amanah yang ditinggalkan,” katanya.

Berbeza dengan konsep penama yang mana penama hanyalah wasi untuk wang yang ditinggalkan, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah menjadikan waris penerima mutlak untuk wang yang dinamakan kepadanya.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 10:23am
d