mutakhir

Jemaah Malaysia mula melontar

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

JEMAAH Malaysia mula melakukan ibadat melontar yang pertama iaitu di Jamratul Kubra pada petang ini (Selasa) ketika seluruh Arab Saudi merayakan Aidiladha.

Kumpulan jemaah pertama mula melakukan ibadat itu kira-kira jam 4 petang, sebagaimana. jadual yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah Malaysia iaitu selepas Asar.

Melontar di Jamratul Kubra kesinambungan daripada dua ibadat Masyair penting yang sudah mereka sempurnakan iaitu wukuf yang dianggap kemuncak haji di Arafah dan bermalam di Muzdalifah pada siang dan malam Isnin.

Sebelum itu, jemaah Malaysia meninggalkan Arafah menuju ke Muzadalifah secara berperingkat-peringkat bermula jam 6.15 petang Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan tahniah kepada petugas Tabung Haji (TH) di atas komitmen yang mereka tunjukkan dalam mengatur pergerakan dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, sepajang bersama rombongan haji Malaysia pada musim ini beliau dapat melihat komitmen tinggi petugas yang lebih mengutamakan jemaah berbanding keselesaan diri sendiri.

“Saya lihat ramai petugas yang batuk dan demam seperti jemaah juga tapi mereka tak hiraukan keadaan kesihatan mereka kerana yang lebih penting ialah menyempurnakan tugas menyantuni Dhuyufurrahman.

“Syabas dan tahniah saya ucapakn. Teruskan kecemerlangan anda semua dan teruskan mengharumkan nama Malaysia,” katanya dalam ucapan ringkas selepas solat Maghrib bersama petugas TH.

Sementara itu, proses pergerakan jemaah haji dari Arafah ke Muzdalifah dan Mina berjalan lancar pada Isnin.

Bas pertama membawa jemaah dari Arafah ke Muzdalifah yang jaraknya kira-kira tujuh kilometer, bertolak pada jam 6.15 petang dan tiba dalam masa 45 minit kemudian.

Di Muzdalifah, jemaah berada di situ sehingga separuh malam iaitu jam 11.55 malam dan mereka juga disunatkan mengutip sekurang-kurang 70 anak batu sebagai persediaan untuk melontar.

Selepas selesai melontar di Jamratul Kubra, jemaah akan terus berada di Mina untuk bermabit atau bermalam dari 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos).

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 5:29pm
d