dekotaman

Baik pulih rumah lelong

Oleh Zaitie Satibi

Lazimnya rumah lelong digambarkan sebagai kediaman yang usang dan terbiar kerana ditinggalkan lama tidak berpenghuni. Malah, struktur rumah lelong yang uzur selain dipenuhi semak-samun dan kelihatan menyeramkan menjadi antara sebab ramai yang lebih berminat mendapatkan kediaman baru.

Rumah lelong mungkin tidak secantik rumah baru, tetapi jika dibaik pulih dan dihias secara kreatif, kediaman itu boleh kelihatan mewah. Bagaimanapun, ramai yang menganggap kos mengubah rumah lelong menjadi tempat tinggal idaman adalah tinggi menyebabkan mereka lebih gemar membeli rumah baru.

Pakar bidang hiasan dalaman dan ubai suai rumah Gemilang Irsyad Resources, Dr Badrul Hisham Mohd Yusoff berkata, pemilik perlu ada cita rasa yang baik dalam menata hias kediaman kerana pemilihan perabot, susun atur dan warna yang dipilih tidak mustahil rumah lama juga mampu menjadi menarik dan istimewa.

“Ramai orang takut dan tidak suka rumah lelong kerana tidak cantik dan beranggapan ia perlukan modal besar. Mencantikkan ruang dalaman bukan soal wang semata-mata, tetapi lebih kepada kreativiti sendiri. Banyak ruang cantik tidak perlukan modal yang besar.

“Pilih satu tema atau gaya yang kita suka atau rasa selesa. Pelbagai konsep dekorasi menjadi pilihan antaranya retro bandar, minimalis, kontemporari, hipster, Scandinavia, Asia, kotej, gaya Inggeris, Mediterranean, moden, tradisional, klasik atau tropika,” katanya.

Mengenai kos baiki rumah pula, Dr Badrul berkata, buat anggaran apa yang perlu dibaiki terlebih dulu dan cari kontraktor yang berwibawa serta dikenali.

“Bukan semua keadaan dalaman rumah lelong masih elok kerana ada juga yang rosak dan perlu diganti. Kos baik pulih agak subjektif kerana bergantung kepada keadaan rumah lelong itu.

“Ada perlu dicat baru, ada yang perlukan pendawaian elektrik dibuat semula, begitu juga sistem bekalan air di rumah yang mungkin perlu diganti. Mungkin juga pemilik baru ingin menambah atau membuat ruangan baru yang memerlukan dinding dipecahkan dan dibina semula.

“Upah boleh dibayar berdasarkan kemajuan kerja baik pulih bagi mengelak ditipu kontraktor tidak bertanggungjawab jika membayar sekali gus sebelum kerja baik pulih itu siap dilakukan. Namun, jika bajet anda tidak mampu menampung kos keseluruhan, kerja baik pulih boleh dilakukan sedikit demi sedikit,” katanya.

Katanya, pemilihan perabot mesti kena dengan konsep dekorasi kerana tema akan tema akan gagal jika kita pilih perabot yang salah. Bagi menjimatkan lagi belanja ubah suai, pemilik boleh membeli perabot menerusi jualan gudang, jualan terus dari kilang atau kedai perabot terpakai.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 2:38pm
d