arena

Toure lepas ujian perubatan

Oleh Agensi

BEKAS tonggak Manchester City, Yaya Toure yang ketika ini ‘bebas’ sudah melengkapkan ujian perubatan di London, kata ejennya Dimitry Seluk.  

Pemain kebangsaan Ivory Coast itu dikatakan hampir menyempurnakan perpindahan tetapi wakilnya membuat ‘usikan’ dengan mengatakan kelab yang akan disertainya itu berada di ibu negara England.

“Toure sudah melepasi ujian perubatan di London,” kata Seluk menerusi Twitter. “Yaya hampir untuk menandatangani kontrak baharu.”

Ketika peminat West Ham mengatakan pemain tengah berusia 35 tahun itu akan menyertai kelab itu untuk disatukan kembali dengan bekas pengurusnya, Manuel Pellegrini, Seluk begitupun pantas menafikannya.

“Ia bukannya West Ham, 100 peratus. Yaya adalah juara. Tempat terakhir bukan untuknya.”

Skuad kendalian Pellegrini ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Perdana Inggeris selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut kepada Liverpool, Bournemouth dan Arsenal. 

Begitupun, tidak mustahil Toure akan menyertai kelab itu berikutan jumlah wang yang diperoleh oleh Pellegrini untuk dibelanjakan bagi mendapatkan pemain baharu musim panas ini.

Selepas Seluk menyingkirkan Hammers, peminat bekas pemain Barcelona yang dilepaskan City musim lalu itu terus menunggu dengan pengumuman mengenainya dipercayai akan dilakukan tidak lama lagi.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 4:21pm
d