global

Tabung Palestin alami krisis kewangan terburuk

Oleh AFP

Kaherah/Washington: Ketua agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) merayu dana untuk menangani krisis kewangan luar jangkaan berikutan tindakan Amerika Syarikat membatalkan sumbangan.

“Kami memerlukan AS$200 juta (RM829.86 juta) untuk menampung defisit tahun ini. Walaupun UNRWA berdepan banyak krisis, terutama kewangan sejak penubuhannya, namun ini krisis terburuk,” kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Pierre Krahenbuhl.

Amerika adalah penyumbang terbesar bajet agensi itu pada 2017 dengan sumbangan AS$350 juta (RM1.45 bilion).

Bulan lalu, Jabatan Negara Amerika menyatakan ia tidak lagi menyumbang kepada UNRWA dengan menyifatkan agensi itu ‘mempunyai kekurangan yang tidak boleh dimaafkan’.

Krahenbuhl berkata, untuk menampung kekurangan itu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar masing-masing berjanji menyumbang AS$50 juta (RM207.47 juta).

Sementara itu di Washington, Jabatan Negara Amerika mengesahkan mengarahkan penutupan pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di bandar raya itu dengan mendakwa Palestin tidak menyokong proses rundingan damai dengan Israel.

“Kami memberi kebenaran pejabat PLO beroperasi di sini, bagi mencapai perdamaian yang komprehensif antara Israel dan Palestin sejak tamatnya tempoh pengecualian pada November 2017.

“Bagaimanapun, PLO gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memulakan rundingan dengan Israel,” kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 9:35am
d