mutakhir

Raptai tertutup letak mahkota

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bersama Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah perkenan menghadiri raptai penuh Istiadat Kemahkotaannya di Istana Besar di sini, semalam.

Pasangan diraja itu tiba di pekarangan istana 10 pagi dengan menaiki kenderaan rasmi diiringi konvoi motosikal berkuasa tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir, anakandanya, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan barisan Exco kerajaan negeri.

Terdahulu, kenderaan yang membawa pasangan itu berkonvoi dari Istana Bukit Serene melalui Jalan Wong Ah Fook menuju Jalan Trus dan seterusnya ke Pantai Lido sebelum memasuki Istana Besar.

Ketibaan baginda berdua disambut dengan perbarisan lintas hormat dan diiringi lagu Bangsa Johor yang dimainkan 35 anggota pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Mereka kemudian beredar ke dalam bangunan Istana Besar untuk melangsungkan raptai istiadat meletakkan mahkota yang diadakan secara tertutup.

Raptai tertutup itu berlangsung 40 minit dan sebaik tamat tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat.

Dijangkakan raptai yang sama diteruskan pada hari ini dan esok.

Disiarkan pada: March 18, 2015 @ 5:25am
d