utama

Ustaz kesal dituduh 'penunggang' agama

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SAYA bukan nak mempergunakan agama, saya cuma nak bantu orang yang memerlukan bantuan tambahan pada musim peperiksaan”.

Demikian kata seorang ustaz di Sungai Petani yang menawarkan perkhidmatan solat hajat dengan meletakkan kadar bayaran mengikut hajat tertentu yang dianggap sebagai derma.

Risalah iklan yang diedarkan ustaz berkenaan yang tertera beberapa hajat seperti cemerlang peperiksaan, sihat dan pintar, sihat dan sembuh, maju perniagaan dan semua hajat yang baik dengan kadar bermula RM10 hingga RM70 dan juga derma seikhlas hati itu tular di media sosial sejak semalam.

Ustaz yang sedang berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah di Sungai Petani berkata, dia terkejut selepas mengetahui risalah iklan yang diedarnya itu tular di media sosial.

“Kalau diikutkan saya mula melakukan perkhidmatan ini sejak 2010. Masa itu, orang yang meminta bantuan saya sering menekan dengan soalan bayaran walaupun saya sudah beritahu seikhlas hati.

“Jadi, harga itu adalah harga kebiasaan. Tetapi kalau orang tak mampu dia boleh bagi ikut suka dia berapa nak bayar sebab itu kita letak perkataan derma pada iklan," katanya.

Katanya, solat hajat dilakukan sekitar jam 2 hingga 3 pagi dan dilakukan secara bersendirian di rumahnya.

Dalam pada itu, ustaz berkenaan turut merasa kesal apabila niat baiknya untuk membantu orang ramai disalah anggap dan dituduh sebagai penunggang agama.

“Penunggang agama ini mungkin sebab orang nampak saya ambil bayaran, sebenarnya saya letak bayaran itu sebagai derma ikut kemampuan orang.

“Saya jadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan sampingan dan saya dapat pun tak banyak. Kalau lepas iklan ini dapat permintaan banyak saya ada hasrat nak bantu golongan yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang tidak mahu dikenali yang turut menerima risalah iklan berkenaan menyifatkan tindakan mengambil bayaran atas perkhidmatan solat hajat adalah tidak wajar.

"Saya terkejut apabila mendapati risalah iklan seperti ini berada dalam peti surat rumah saya. Pada saya perkara ini tidak sepatutnya terjadi kerana individu berkenaan meletakkan jumlah derma secara spesifik ke atas sesuatu hajat.

“Perkara ini boleh menimbulkan persepsi negatif kepada yang bukan Islam dan bagi orang Islam sendiri, mereka akan nampak benda itu sebagai satu jalan mudah,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 5:44pm
d