mutakhir

Mana mau lari?

Oleh Nur Saliawati Salberi

POLIS kini giat memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Selandar, jasin, awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata suspek dipercayai terbabit dalam dua kejadian pecah rumah di kawasan itu pada 6 September selepas kegiatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, dalam kejadian pertama, seorang peniaga kerugian kira-kira RM600 selepas rumahnya di Taman Jus Permai dipecah masuk melalui tingkap bahagian belakang.

“Kejadian hanya disedari lelaki berusia 54 tahun itu selepas pulang ke rumahnya pada 4.30 pagi apabila mendapati tingkap belakang sudah terkopak.

“Sebaik memasuki rumah, mangsa mendapati ruang tamu dan tiga bilik tidur dalam keadaan berselerak, selain wangnya berjumlah RM600 turut lesap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, dalam kejadian berasingan berhampiran lokasi kejadian pertama, suspek sama dipercayai turut cuba masuk ke rumah lain, namun gagal.

Beliau berkata, tindakan lelaki yang memakai sarung kepala itu berjaya dirakam CCTV di rumah berkenaan.

Katanya, sehubungan itu, polis kini memburu lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 2:23pm
d