mutakhir

[UPDATE] Empat lagi maut sebab arak beracun

Oleh Mohd Hasbi Sidek

DUA lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing meninggal dunia 14 September lalu di beberapa lokasi di ibu negara selepas dipercayai keracunan selepas minum minuman keras yang dibeli di kedai di Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Polis percaya kes berkenaan mempunyai kaitan dengan kes yang berlaku di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin, yang menyebabkan 15 individu maut.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kejadian pertama di PPR Taman Wahyu, Kepong, di sini, seorang lelaki mendakwa bapanya yang berusia 54 tahun tidak sedarkan diri kira-kira 1 tengah hari.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia, 5.30 petang pada hari sama ketika menerima rawatan.

"Manakala kejadian kedua seorang lelaki berusia 56 tahun terjatuh dan mengalami kekejangan di pondok pengawal di kawasan kediamannya juga di PPR Taman Wahyu, 5.20 petang.

"Mangsa yang bekerja sebagai pemungut barang lusuh kemudiannya digegaskan ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia pada hari sama ketika menerima rawatan di hospital berkenaan, " katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, pada 7.50 malam, seorang lelaki warga Myanmar ditemui rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia di rumah didiami mereka di Jalan Development, Taman Kepong, di sini.

"Kes terakhir di Jalan Metro Perdana, 11 malam yang mana seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, " katanya.

Munusamy berkata, pada mulanya pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) sebelum pihak Pejabat Kesihatan membuat serbuan di premis di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini.

"Pihak Pejabat Kesihatan merampas tiga botol minuman keras dan hasil analisa mendapati minuman keras berkenaan mengandungi bahan metanol yang boleh membahayakan nyawa manusia.

"Susulan daripada hasil penemuan itu, pihak kami membuat serbuan di premis menjual minuman keras di Jalan Selingsing 4, Taman Sri Kuching, di sini 11.15 pagi tadi dan merampas sejumlah arak serta menahan dua lelaki.

"Pihak kami percaya kejadian ini mempunyai kaitan dengan kejadian di Selangor yang menyebabkan 15 maut, " katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa beli arak di Bangi Lama...

[UPDATE] Angka maut akibat arak meningkat

[UPDATE] Lapan lagi disahkan maut

[UPDATE] Polis rampas arak di 'Pasar Bangla'

7 maut keracunan alkohol

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 12:10pm
d