mutakhir

Berlumuran darah di pintu stesen minyak

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PEMBANTU kedai makan maut, manakala rakannya cedera selepas ditetak dengan pisau pemotong daging oleh seorang lelaki di Ayer Keroh, semalam.

Pada kejadian kira-kira 7 pagi itu, Mohamad Shahril Mohd Yusof, 22, dari Perak disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor.

Rakannya, Mohamad Shahrul Nizam Zulkifli, 18, dari Negeri Sembilan cedera di kaki dan kini sedang dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi.

Menurutnya, polis mendapati seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berlumuran darah berhampiran dengan pintu masuk sebuah stesen minyak.

Katanya, remaja itu memberitahu dia ditetak seorang lelaki tidak dikenali.

“Dia kemudian dihantar ke Hospital Melaka. Apabila tiba di situ, polis mendapati seorang lagi mangsa (Mohamad Shahril) sedang dirawat dan kritikal.

“Mohamad Shahril kemudian dipindahkan ke Hospital Serdang pada 2 petang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang," katanya ketika dihubungi NSTP.

Afzanizar berkata, kedua-dua mangsa bekerja sebagai pembantu kedai makan berhampiran stesen minyak berkenaan.

Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah restoran tidak jauh dari lokasi kejadian, jam 11.30 malam hari sama.

“Polis merampas sebuah motosikal Honda EX5 dan sebilah pisau pemotong daging daripada suspek.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 7:41pm
d