global

Mati dihempap papan iklan gergasi

Oleh Agensi

New Delhi: Empat orang maut, manakala lima lagi parah dihempap bingkai papan iklan yang jatuh dari ketinggian 12 meter di Junna Bazaar, Pune, India, tengah hari kelmarin.

Hindustan Times melaporkan, bingkai terbabit menghempap 10 kenderaan termasuk enam beca, sebuah kereta dan kereta roda tiga.

Dua daripada mangsa terbunuh ketika berada di dalam dua beca akibat dihentak bingkai papan iklan yang didirikan di atas tanah milik jabatan kereta api Pune itu.

Menurut jurucakap kereta api yang enggan dikenali, papan iklan itu dicabut kontraktor persendirian sejak tamat kontrak pengiklanan.

“Agensi yang diberi tugas mencabut papan iklan itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini.

“Kami akan melakukan inkuiri terhadap keseluruhan kejadian yang berlaku,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Jabatan Kereta Api Pune mengumumkan pembayaran pampasan 500,000 rupee (RM28,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Pampasan berjumlah 100,000 rupee (RM5,600) turut dibayar kepada mangsa yang parah, manakala 50,000 rupee (RM2,800) kepada yang cedera ringan.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 2:58am
d