hati

Abaya ada kelas tersendiri

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Fesyen abaya cukup sinonim dengan wanita moden kini yang selesa menutup aurat ketika keluar mahupun menghadiri acara rasmi. Kalau dulu, ramai yang segan mengenakan abaya kerana potongan busana itu hampir serupa dengan jubah.

Bukan bermakna wanita yang memilih abaya menolak untuk menyarung jubah, tetapi busana itu dilihat lebih praktikal untuk dijadikan pakaian harian, selain mudah diterima masyarakat umum.

Dari sudut fesyen, jubah wanita mempunyai kelas tersendiri. Busana ini lebih cenderung dipakai Muslimah yang mendahulukan kepentingan menutup aurat berbanding penampilan atau niat untuk berfesyen.

Abaya pula lebih santai, berbutang atau zip di depan, tidak bercekak, mempunyai pelbagai potongan dan kerap dijadikan persalinan luar bagi wanita negara Timur Tengah.

Pada era moden kini, abaya juga boleh dibezakan dengan potongan tradisional atau gaun. Mudahnya, abaya cukup sinonim dengan gaya fesyen untuk Muslimah bercita rasa tinggi.

Menurut pereka muda, Hazreen Nursuraya Hashim, abaya adalah persalinan tepat untuk wanita yang sukakan gaya sopan, ringkas dan selesa, namun tetap anggun menawan.

“Saya percaya setiap wanita seharusnya memiliki sekurang-kurangnya sepasang abaya untuk digayakan ke majlis ilmu, hari raya, memenuhi undangan perkahwinan, acara rasmi atau sekadar untuk dipakai ketika keluar bersantai bersama rakan mahupun keluarga.

“Ia manis dipadankan dengan selendang dan mudah disesuaikan dengan keperluan majlis. Paling utama, ia praktikal untuk melengkapkan kehendak berfesyen dan memenuhi keperluan beribadah,” katanya.

Mengusahakan abaya jenama sendiri, pramugari Saudi Arabian Airlines ini memberitahu, busana yang ditawarkan di butiknya bukan lagi berlatarkan hitam putih, sebaliknya mempunyai pelbagai pilihan warna serta rekaan menarik.

“Sepanjang tinggal di Arab Saudi, saya kerap menerima tempahan daripada rakan dan saudara. Memandangkan adanya permintaan, saya mula mereka gaun abaya, memilih corak, perincian, potongan serta memilih fabrik berwarna, bersesuaian dengan masyarakat di Malaysia.

“Saya satukan trend fesyen semasa dalam rekaan abaya untuk menarik minat wanita mengenakan pakaian sopan, namun anggun, eksklusif dan tampak mewah,” katanya.

Jelas Nursuraya, dia sengaja memilih abaya berbanding jubah kerana busana itu bersifat universal dan boleh diterima umum. Selain itu, abaya juga boleh diperincikan dengan banyak potongan dan hiasan, menjadikan ia koleksi pakaian Muslimah unik dan manis dikenakan di pelbagai majlis.

“Ada wanita mungkin segan untuk menukar gaya Muslimah dengan menyarung jubah. Jadi, inilah fungsi abaya. Siapa saja boleh mengenakan abaya. Ia sopan, tetapi tidak keterlaluan,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 6:00am
d