arena

Mane kembali perkasa Reds

Oleh Agensi

LONDON: Sadio Mane cergas untuk disenaraikan Liverpool bagi pertembungan Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade, awal pagi Khamis ini.

Penyerang Senegal itu mengalami kecederaan patah ibu jari tangan ketika menjalani latihan sewaktu rehat antarabangsa dengan dua lagi bintang, Mohamed Salah dan Naby Keita turut berdepan masalah.

Begitupun, bintang Mesir, Salah disahkan cergas bagi perlawanan Reds menentang Huddersfield baru-baru ini tetapi Mane dan Keita tidak disenaraikan dalam skuad.

Seorang lagi tonggak, Roberto Firmino dinamakan dalam bangku simpanan selepas mengharungi perjalanan panjang dari Brazil ke England.

Pengendali Reds, Jurgen Klopp mengakui Mane perlu memutuskan sama ada dia bersedia untuk mengharungi perlawanan di Anfield dan pemain berusia 26 tahun mengesahkan dia bersedia untuk kembali disenaraikan ketika Liverpool berusaha mengembalikan semula kempen di peringkat Eropah.

Liverpool memperoleh permulaan baik apabila menumbangkan juara Perancis, Paris Saint-Germain pada perlawanan pertama tetapi kelab Inggeris itu kemudian tewas di tangan Napoli bagi aksi kedua.

Klopp mengakui kemenangan ketika menentang Huddersfield dalam kempen Liga Perdana Inggeris, minggu lalu tidak begitu meyakinkan.

“Saya kadang kala nampak kecewa di tepi padang sekali pun kami menang,” kata pengurus dari Jerman itu. “Prestasi tidak 100 peratus, ia seperti kami sepatutnya dapat menjaringkan gol dalam enam atau tujuh situasi tetapi kami memerlukan hantaran lebih baik.

“Kami melakukan banyak perkara yang hebat dan kemudian hantaran tidak baik. Bagaimana saya ingin menjelaskannya? Saya perlu melihat kembali permainan. Pemain-pemain tidak melakukan hantaran yang baik.”

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 12:49pm
d