mutakhir

15 hilang tempat tinggal

Oleh Recqueal Raimi

SERAMAI 15 penghuni membabitkan tiga rumah berhampiran Pejabat Kesihatan di Kampung Tanjung Kapor, Kudat tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, semua rumah jenis tidak kekal berkenaan musnah 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.22 malam sebelum 22 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama tiga jentera dihantar ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, api didapati marak di tiga rumah terbabit dan pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman.

“Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain dan memastikan api dipadam sepenuhnya,” katanya.

Katanya, punca sebenar kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 1:19pm
d