WM

Keunikan kuih kaswi

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

SEIRING peredaran zaman, kuih tradisional semakin sukar ditemui hingga menyebabkan ada antara generasi kini yang tidak berpeluang merasai keenakan juadah itu.

Selain faktor rasa, menu kuih tradisional terkenal dengan kepelbagaian bentuk dan warna yang menambahkan lagi keunikannya.

Realitinya, kuih tradisional tidak akan luput ditelan zaman atas faktor keenakan rasanya dan mempunyai keistimewaan tersendiri menjadikan ia antara kegemaran semua golongan tanpa mengira usia.

Namun, menyediakan kuih-muih tradisional sering dianggap susah dan rumit. Hakikatnya tidaklah sesukar disangka, namun tidak semua individu mampu menyediakan kuih tradisional yang enak.

Kuih kaswi antara kuih tradisional yang dianggap sukar disediakan, mana tidaknya jika tersalah adunan dan cara, ia tidak dapat menghasilkan rasa sebenar kuih itu.

Menurut penjawat awam, Fadilah Hashim, walaupun dianggap rumit, namun proses menyediakan kaswi tidaklah sesukar disangka.

"Mungkin ramai yang anggap susah kerana tidak tahu resipi dan cara penyediaannya Saya yakin sekiranya pernah mencuba dan mengikut resipi tepat tentu kuih ini boleh disediakan sesiapa saja pada bila-bila masa saja kerana ia mudah.

"Adunan tepung, gula merah dan air perlu tepat kerana jika tersalah ia akan menyebabkan kaswi itu sedikit lembik," katanya.

Menggunakan resipi turun-temurun keluarga, Fadilah berkongsi resipi dan langkah demi langkah penyediaan kaswi yang boleh dijadikan hidangan minum petang atau ketika jamuan.

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum

1 cawan tepung ubi

4 sudu tepung beras

1 cawan gula merah

3/4 gula putih

4 1/2 cawan air

Setengah biji kelapa parut

Cara penyediaan:

1). Cairkan gula merah dan gula putih bersama empat cawan air menggunakan api perlahan.

2). Campurkan tiga jenis tepung di dalam satu bekas.

3). Masukkan air gula yang sudah disejukkan seketika ke dalam campuran tepung.

4). Gaul semua adunan sehingga sebati. Boleh juga menggunakan pengisar untuk memastikan semua adunan sebati.

5). Masukkan adunan ke dalam loyang pengukus dan kukus dalam tempoh 15 hingga 20 minit.

6). Selepas siap dikukus, taburkan kelapa parut yang dicampur dengan sedikit garam.

7). Kuih kaswi sedia disajikan dan dinikmati keenakannya.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 5:01am
d