mutakhir

Jumpa mayat membengkak dalam kabin

Oleh Nurul Amanina Suhaini

MAYAT lelaki ditemui dalam keadaan sudah mula membengkak di kabin bot terbiar di Jeti Ah Liang, Endau, dekat Mersing, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian 3.15 petang semalam, mayat itu dijumpai orang awam dalam keadaan terlentang yang kemudian memaklumkannya kepada polis dari Balai Polis Endau.

“Siasatan mendapati mayat sudah membengkak dipercayai lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dengan berseluar jeans biru tanpa baju ditemui dalam kabin bot yang sudah tidak digunakan, berhadapan dengan jeti bot nelayan.

“Siasatan awal pihak polis tidak menemui apa-apa kesan cedera pergelutan atau khianat.

“Mangsa dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah kerana pihak polis turut menemui peralatan yang digunakan untuk penyalahgunaan dadah, selain tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa,” katanya dalam kenyataan di Mersing, hari ini.

Cyril berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing, di sini, untuk siasatan, selain pihaknya memohon maklumat daripada orang awam bagi mengesan waris.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 11:01am
d