mutakhir

Polis cari individu maki jurujual wanita

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS mengesan individu yang mengeluarkan kata kesat dan ayat berunsur ‘rasis’ terhadap jurujual wanita di sebuah pasar raya di Ampang, baru-baru ini.

Ia susulan penyebaran video kejadian yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam video berdurasi kira-kira 46 saat itu, seorang individu mendekati seorang wanita berbangsa Cina yang dipercayai mengedarkan sampel minuman keras di pasar raya berkenaan.

Individu berkenaan mempertikai dan mendakwa sampel minuman keras itu diberikan kepada semua pelanggan.

Bagaimanapun, wanita itu menafikan dakwaan itu sebelum individu berkenaan kemudian mendesak jurujual terbabit menggunakan Bahasa Melayu.

Apabila desakan supaya wanita itu berbahasa Melayu tidak diendahkan, lelaki itu menunjukkan isyarat lucah.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membuat laporan mengenai klip video berkenaan yang tular, baru-baru ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 10:16pm
d