mutakhir

Kelindan maut lori terbabas

Oleh Farah Suhaidah Othman

KELINDAN maut manakala pemandu cedera selepas lori yang membawa muatan susu getah terbabas di Kilometer 295.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan di Kampar, awal pagi hari ini.

Difahamkan, lorong kiri di lokasi kejadian ditutup sementara bagi kerja pembersihan berikutan muatan susu getah yang tumpah di atas lebuh raya.

Bagaimanapun, identiti kedua-dua mangsa kemalangan yang dipercayai berlaku pada 5.20 pagi itu, belum dikenal pasti.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, S Ganessan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.22 pagi.

Katanya, setiba di lokasi kejadian anggota bomba mendapati pemandu lori tersepit selepas kenderaan membawa muatan susu getah yang dinaiki terbabas ke kiri lebuh raya.

“Anggota bomba menggunakan alat hidraulik bagi mengeluarkan mangsa tersepit sebelum pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di Kampar, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

“Seorang lagi mangsa yang turut berada dalam lori berkenaan bagaimanapun cedera dan operasi menyelamat tamat pada 7.08 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 9:44am
d