rap

Jamin konsert BLACKPINK tak batal

Oleh Georgie Joseph

PENGANJUR konsert kumpulan popular Korea Selatan, BLACKPINK 2019 World Tour (In Your Area) Kuala Lumpur, Macpiepro memberi jaminan konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 23 Februari tahun depan tidak mungkin akan dibatalkan sebagaimana berlaku terhadap konsert TWICE, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ang Chee Chiang berkata, pihaknya sudah memastikan mereka menepati segala peraturan ditetapkan termasuk aspek keselamatan di lokasi yang berkapasiti 13,000 penonton itu.

“Setakat ini, kami berjaya menganjurkan dengan konsert K-Wave 3, iKON dan WINNER tahun ini di lokasi sama tanpa sebarang masalah. Kami jamin penganjuran Macpiepro sentiasa berada di tahap yang terbaik.

“Untuk konsert BLACKPINK juga, kami tiada masalah menepati segala peraturan dan protokol ditetapkan. Begitu juga aspek keselamatan di mana segalanya berada dalam kawalan yang terbaik.

“Buat masa ini, kami masih menunggu hasil perbincangan dengan agensi pengurusan kumpulan itu dari segi piawaian pakaian ketika persembahan mereka nanti. Apapun, kami akan pastikan penonton di sini dapat kepuasan sebagaimana penonton di negara lain yang dikunjungi BLACKPINK,” katanya.

Ang juga menasihatkan pembeli tiket supaya tidak terpedaya dengan ‘ulat tiket’ yang membuat penjualan secara haram dengan mengenakan harga tidak masuk akal.

“Memandangkan konsert ini sangat dinanti-nantikan, tolonglah beli di laman web rasmi penjualan tiket kami dan bukannya pihak luar. Tiket adalah terhad di mana seorang pembeli hanya layak membeli paling maksimum empat tiket sekali pembelian,” katanya.

BLACKPINK yang dianggotai Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa mencipta fenomena di seluruh dunia menerusi lagu antaranya Ddu-Du Ddu-Du. Lagu kerjasama mereka dengan penyanyi popular Britain, Dua Lipa berjudul Kiss and Make Up turut unggul di carta-carta lagu antarabangsa.

Terdahulu, konsert kumpulan TWICE iaitu WICELAND ZONE 2: Fantasy Park in Kuala Lumpur yang berlangsung di lokasi sama dibatalkan beberapa jam sebelum konsert sebenar pada 21 Julai lalu atas faktor keselamatan.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 5:52pm
d