hati

Kalam suci anak syurga

Oleh Siti Zarinah Sahib

Memasuki pekarangan Yayasan Al-Faqeh di Nilai Impian, Nilai, Negeri Sembilan kelihatan 10 kanak-kanak berusia seawal enam tahun sehingga 22 tahun khusyuk memperdengarkan ayat suci al-Quran dengan bantuan ustaz dan ustazah.

Istimewanya kanak-kanak ini ialah mereka tergolong sebagai anak syurga seperti autisme, sindrom Down, mengalami masalah percakapan dan lambat pembelajaran yang memerlukan pembelajaran khusus.

Namun di sebalik kelemahan mereka, jelas kesungguhan untuk mempelajari al-Quran dan mereka mampu melakukannya apabila ada di antaranya dapat membaca kitab suci dengan lancar.

Di sebalik keselesaan yang disediakan untuk anak istimewa ini pastinya wanita bernama Zaharatul Sophia Mohamad Abas, 39, tersenyum lega kerana impian membantu anak istimewa mendalami al-Quran terlaksana dengan tertubuhnya Yayasan Al-Faqeh pada 7 Februari 2013.

Menjelaskan lebih lanjut, wanita murah senyuman ini sebenarnya turut dikurniakan anak autisme yang kini berusia 13 tahun. Malah semangat dan kecekalan membina pusat pembelajaran dan pengajaran al-Quran turut didorong daripada pengalaman berhadapan dengan anak sendiri, Muhammad Faris Ahyar.

Menurut Sophia, ketika dilahirkan Faris sama seperti kanak-kanak lain yang aktif dan lasak. Namun memasuki usia 18 bulan beberapa perkataan ringkas yang mudah difahami dan pernah dikeluarkan sebelum ini hilang begitu saja. Sejak itu anaknya tidak lagi bercakap.

“Saya menyuarakan kebimbangan kepada suami namun dia menenangkan saya dan mengatakan Faris masih kecil, sampai ketikanya dia akan bercakap. Namun disebabkan risau saya membawanya bertemu pakar psikiatri. Menerusi pemerhatian, pakar memberitahu anak saya mungkin jenis lambat bercakap. Doktor menyarankan saya memberikan makanan sihat supaya kemampuan bertutur menjadi bertambah baik,” akuinya.

Oleh kerana masih tidak berpuas hati dengan jawapan doktor menyebabkan Sophia mencari jawapan menerusi Internet dan buku sehingga dia mendapati hampir semua ciri autisme ada pada anaknya. Faris ketika itu gemar bermain anak patung, suka menyendiri, menyusun permainan terutama kereta secara memanjang dan kerap mengibaskan kedua-dua tangannya.

“Ketika itu memang timbul rasa sedih. Saya juga bertanya mengapa saya menjadi pilihan. Saya akui mengambil masa yang lama untuk menerima kenyataan ini sehinggalah anak meningkat usia dua tahun setengah. Saya mengambil keputusan membawanya ke Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) untuk menjalani ujian. Selepas menjawab soalan kaji selidik memang benar Faris termasuk dalam kanak-kanak autisme,” katanya sayu.

Mengakui dia sama seperti ibu bapa lain yang mengharapkan Faris boleh membaca dan mengira dengan baik, lalu dia menghantar anaknya ke kelas intervensi awal mengenai pengurusan diri. Sophia langsung tidak terfikir kanak-kanak istimewa juga memerlukan makanan rohani berasaskan al-Quran bagi membentuk emosi dan jiwa mereka.

“Kami suami isteri tidak tahu bagaimana mahu mengajar al-Quran sedangkan dia tidak boleh bercakap dengan baik. Namun Allah tiba-tiba menjawab persoalan saya apabila ketika suami sedang memperdengarkan surah ar-Rahman, Faris yang berada di ribaan ayahnya mengalirkan air mata. Saya dan suami sangat tersentuh hati melihat keadaan Faris seakan-akan memahami maksud ayat dibacakan suami,” kata Sophia sayu.

Sejak itu Sophia mula terfikir tidaklah Allah jadikan sesuatu itu sia-sia, setiap ciptaan mesti ada sumbangannya. Faris mungkin sebagai peringatan kepada dia dan suami untuk membantu kanak-kanak syurga lain supaya mereka tidak dipinggirkan dan diberi peluang mendalami al-Quran.

“Saya mula tersedar anak istimewa ini tentulah tempatnya di syurga tetapi bagaimana pula dengan ibu bapa? Adakah terlepas tanggungjawab mereka dalam memberikan didikan agama sedangkan anak istimewa atau normal kedua-duanya adalah anugerah Allah dan seharusnya diberikan didikan yang sama,” katanya.

Tersedar dengan peringatan diberikan Allah ini, akhirnya Sophia bersama dengan seorang lagi individu yang juga dikurniakan anak istimewa terus merancang menubuhkan Yayasan Pendidikan al-Quran Anak Istimewa atau Yayasan Al-Faqeh bagi membangunkan silibus pengajaran berasaskan al-Quran.

Bangunkan kurikulum al-Quran

Berdasarkan pemerhatiannya di Malaysia setakat ini, memang tiada kurikulum khas pendidikan al-Quran untuk anak istimewa. Jadi dia bersama pendidik di Jabatan al-Quran Universiti Malaya membangunkan kurikulum al-Quran atau dikenali sebagai QurANIS yang membabitkan hafazan, tilawah al-Quran, terapi tahsin ibadah dan terapi alami.

“Keempat-empat kurikulum ini membabitkan semua peringkat usia, kanak-kanak hiperaktif atau hipoaktif, boleh bercakap atau mempunyai masalah komunikasi. Di bawah tenaga pengajar ustaz dan ustazah setiap pelajar akan melalui proses pembelajaran sama namun bergantung kepada kebolehan masing-masing.

“Namun sebenarnya mengajar anak ini sangat mudah kerana mereka dikurniakan hati yang bersih. Jadi apa saja ilmu diterima dengan mudah,” katanya.

Menurut Sophia, dia sering memberi semangat kepada ibu bapa yang dikurniakan anak istimewa supaya tabah dan menerima anugerah Allah dengan reda. Anak yang dilahirkan sebegini bukanlah disebabkan Allah tersalah cipta tetapi sebagai satu bentuk anugerah yang tidak ternilai.

“Seperti yang saya katakan tadi sememangnya anak ini sudah menjadi penghuni syurga. Begitu juga dengan ibu bapa sekiranya mereka sabar dan reda serta memainkan peranan menyampaikan ilmu dengan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, melihat perkembangan anak istimewa ini jiwanya sangat tersentuh. Berbanding pada awal pertemuan, kini mereka menunjukkan banyak perubahan yang membanggakan.

“Daripada tidak pandai solat kini mereka sangat menjaga solat dan lakukan pada awal waktu. Mereka mudah menghafal al-Quran dan doa harian. Apa yang saya nampak disebabkan jiwa yang suci tanpa dosa, mereka menerima pengajaran dengan mudah. Saya juga banyak belajar menerusi anak syurga ini. Saya menjadi lebih sabar dalam memberikan didikan kepada mereka,” kata Sophia.

Dia yang dulunya bekerja sebagai pengarang kini menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan anak istimewa terutama menyediakan tenaga pengajar yang kebanyakannya sukarelawan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Kebanyakannya adalah golongan muda yang baru menamatkan pengajian dalam pengajian al-Quran dan sunah di USIM jadi peluang ini digunakan sepenuhnya untuk menerapkan kemahiran dan cara menyantuni anak istimewa,” katanya.

Pada masa akan datang Sophia berharap modul kelas pendidikan al-Quran dan anak autisme yang dibangunkan di Yayasan Al-Faqeh dapat menjadi contoh kepada mereka yang ingin membuka kelas pengajian al-Quran untuk anak syurga.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 7:00am
d