mutakhir

JBPM bawa keluar penyelidik Jepun

Oleh BERNAMA

PENYELIDIK warga Jepun yang tercedera selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Mulu, dua hari lalu diterbangkan keluar dari Kem 4 oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pagi hari ini.

Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman berkata, Akihiro Noda, 25, yang mengalami cedera pada punggung dan retak tulang rusuk, digegaskan ke Hospital Miri sebaik helikopter mendarat di Miri pada 8.40 pagi.

“Atas faktor keselamatan, kami terpaksa menggunakan win untuk membawa mangsa keluar dari Kem 4 seawal jam 7.40 pagi ketika keadaan cuaca agak baik dan kurang berawan,” katanya.

Menurutnya, usaha mengeluarkan penyelidik berkenaan yang terjatuh ketika mendaki dua hari lalu, terpaksa ditangguhkan semalam kerana cuaca buruk.

Semalam, pihak pentadbiran Taman Negara Mulu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Marudi bagi memaklumkan tentang kejadian yang berlaku pada 9 malam Sabtu lalu.

Kejadian berlaku ketika Akihiro, mahasiswa Universiti Kyoto, Jepun sedang mendaki gunung berkenaan bersama-sama seorang lagi penyelidik senegara dan tiga porter.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 11:36am
d