rap

Suami layan 'mengidam' di Bali

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Mawar Rashid, 23, meluahkan rasa gembira apabila suaminya, Raf Yaakob membawanya ke Bali untuk ‘melayan’ rasa mengidam untuk minum air kelapa di tepi pantai.

Mawar ketika dihubungi berkata, dia memang sudah mengidam untuk minum air kelapa di tepi pantai sejak awal kehamilan lagi.

“Saya dah mengidam sejak awal kehamilan, namun, pada peringkat awal, tidak sesuai untuk saya menaiki pesawat.

“Jadi, apabila kandungan saya sudah kuat, barulah saya dan suami berani untuk bercuti ke tempat yang jauh sikit,” katanya kepada Harian Metro.

Mawar juga mengucapkan terima kasih kepada suaminya kerana menunaikan permintaannya itu.

“Terima kasih kepada suami kerana menunaikan permintaan saya. Dalam pada masa sama, kami pun dapat bercuti bersama.

“Ini menjadi salah satu kenangan terbaik dan tidak dapat saya lupakan,” katanya.

Mawar sempat berkongsi video kegembiraannya di Instagram dan ditonton lebih 244,000 tontonan di laman sosial itu.

Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, juga memuat naik gambarnya bersama isteri di Instagram miliknya.

“Sepanjang @mawarashid mengandung, dia tak ada mengidam yang pelik-pelik. Cuma yang dia minta, nak minum air kelapa di tepi pantai.

“Kerana itu, saya bawa dia ke Bali,” tulisnya.

Kandungan Mawar kini menjangkau usia 26 minggu dan dijangka melahirkan cahaya mata pada Mac tahun depan.

Mawar dan Raf berkahwin pada November tahun lalu.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 2:59pm
d