hati

Resipi hidangan petang

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Gaya hidup masa kini sedikit sebanyak mengehadkan masa untuk kita bersantai bersama keluarga sambil menikmati hidangan minum petang, hasil air tangan sendiri di rumah.

Mungkin ada yang beranggapan ia mustahil kerana penyediaan hidangan mengambil masa untuk disediakan, selain perlu menyediakan bahan terlebih dahulu.

Sebenarnya, ada banyak resipi ringkas yang mudah dan pantas disediakan. Asalkan kita tahu jenis bahan diperlukan dan langkah penyediaan yang betul, tentunya ia mudah disediakan.

Misalnya, kuih kayu keramat hasil air tangan Sharifah Nor Abdullah dan putu bambu perkongsian daripada Nur Fadilla Zulfa. Kedua-dua resipi ini bukan saja ringkas, tetapi mudah disediakan dan enak dinikmati bersama keluarga.

Menariknya, kita tidak perlu membeli bahan khusus, sebaliknya cukup dengan hanya menggunakan bahan asas yang selalu ada di dapur. Selamat mencuba!

KUIH KAYU KERAMAT

Bahan-bahan

•3 cawan tepung gandum

•1 camca soda bikarbonat

•1 sudu marjerin

•1 camca serbuk yis

•2 sudu gula

•1 cawan air suam

•Secubit garam

Cara-caranya

1. Satukan serbuk yis bersama gula dan air suam. Kacau sehingga larut dan ketepikan seketika.

2. Gaul tepung, garam dan marjerin sehingga sekata.

3. Kemudian masukkan bancuhan yis tadi ke dalam adunan tepung. Uli sehingga menjadi doh.

4. Rehatkan doh sehingga adunan naik dua kali ganda dari saiz asal.

5. Tumbuk doh untuk mengeluarkan angina dan mulakan mencanai.

6. Bentukkan panjang dan tekan dengan penyepit (chopstick) di tengahnya.

7. Tarik sedikit adunan supaya memanjang sebelum menggoreng. Gunakan api sederhana.

8. Selepas keperangan, angkat dan toskan.

Sos manis

Bahan-bahan

•1 1/2 sudu tepung kastad

•1 cawan susu segar

•3 sudu susu pekat manis

•sedikit pati pandan dan pewarna hijau.

Cara-caranya

1.Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecil dan masak dengan api sederhana.

2.Kacau sehingga sedikit pekat dan angkat dari dapur.

3.Sendukkan ke dalam mangkuk dan sejukkan.

PUTU BAMBU

Bahan-bahan

•3 cawan tepung beras

•1 cawan air

•Gula merah atau gula Melaka untuk inti

•Daun pandan

•Garam

•Kelapa parut

Cara-caranya

1.Masukan air ke dalam periuk bersama daun pandan dan secamca garam. Didihkan sehingga pandan mewangi dan tutup api.

2. Sagat gula Melaka dan ketepikan. Panaskan kukus.

3. Dalam bekas lain, letakkan tepung beras dan masukan air rebusan pandan menggunakan sudu. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil menggaul tepung.

4. Pastikan adunan tepung menjadi umpama serbuk roti.

5. Ayak tepung berkenaan menggunakan penapis kasar untuk mendapatkan tekstur ringan dan sekata.

6. Masukkan sedikit tepung ke dalam acuan lompang diikuti gula Melaka. Lapis bahagian atasnya dengan sedikit lagi tepung.

7. Kukus antara 10 hingga -15 minit.

8. Apabila putu siap dimasak, lapis bahagian bawahnya dengan kelapa parut yang sudah diperasakan dengan sedikit garam.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 11:09am
d