mutakhir

Penganjur acara sambutan tahun baharu ditahan

Oleh Ifwan Tun Tuah

POLIS menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang menjadi penganjur acara sambutan tahun baru tanpa kelulusan di sebuah resort di Lukut, Port Dickson, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata wanita itu ditahan pada 9.45 malam tadi.

“Wanita itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 berikutan acara berkenaan bertentangan dengan kelulusan dimohon penganjur sebelum ini.

“Selain itu, polis mengesan aktiviti penjualan dan penggunaan minuman keras pada acara itu, selain lima pengunjung turut ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Semalam, media melaporkan polis menahan lima pengunjung program sambutan tahun baharu yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung termasuk dari luar negara itu kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Polis dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) turut mendedahkan, penganjur program itu menyimpang daripada permohonan asal iaitu untuk mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian.

Sebelum ini, sebanyak enam laporan polis dibuat bagi membantah penganjuran program berkenaan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Teluk Kemang dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Berita berkaitan

'Lima sambut tahun baru di PD ditahan'

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 11:09pm
d