itmetro

E-sukan makin diminati

Oleh Zaitie Satibi

Fenomena sukan elektronik atau e-sukan yang menjadi kegilaan rata-rata remaja di Malaysia dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Malah, arena e-sukan juga semakin mendapat perhatian banyak pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan yang mengiktirafnya sebagai satu bentuk sukan kompetitif di peringkat global. Ini berikutan kerajaan mahu golongan berkenaan dipupuk dan diberi bimbingan untuk diketengah serta bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam usaha merancakkan lagi e-sukan dalam kalangan remaja, Mayfair Assets Sdn Bhd yang juga pengendali Uptown Puchong Night Bazaar menganjurkan pertandingan permainan video bola sepak FIFA 19 sempena program Youthnite-Let’s Get Offline di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama kementerian berkenaan bersama E-Sport Malaysia (ESM) dan GamesBond membabitkan penyertaan 64 pemain permainan elektronik (gamer) dengan hadiah wang tunai ditawarkan keseluruhan bernilai RM2,000.

Pengurus Acara Mayfair Assets, Fakharuddin Awaludin berkata, permainan menggunakan konsol PS4 itu diadakan secara kalah mati dengan setiap perlawanan berlangsung selama antara 10 hingga 15 minit.

“Biarpun julung kali diadakan, pertandingan e-sukan ini mendapat sambutan menggalakkan apabila kami menerima lebih 100 pendaftaran yang dibuka menerusi dalam talian dua minggu sebelum acara.

“Namun, kami memilih peserta berdasarkan siapa cepat dengan yuran pendaftaran RM20 seorang. Penganjuran pertandingan e-sukan ini bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, malah ia mendatangkan ganjaran lumayan kepada remaja.

“Berdasarkan maklum balas positif, kami merancang untuk menganjurkan pertandingan ini dari semasa ke semasa dan turut berharap menerusi acara ini ia akan menjadi lokasi alternatif kepada remaja di sekitar Lembah Klang untuk berkumpul,” katanya.

Dalam pertandingan bermula jam 6 petang hingga 12 malam itu, kebijaksanaan pemain diuji apabila mereka perlu mencuba pelbagai jenis taktik untuk mengawal pemilikan gaya bola sepak, sekali gus meningkatkan jurang kemahiran antara lawan.

FIFA 19 yang baru saja dilancarkan September tahun lalu dilengkapi ciri taktik dinamik selain penambahan beberapa mod baru. Permainan video bola sepak siri baru ini juga dikatakan jauh lebih baik dengan penambahan Champions League.

Ia juga lebih mencabar berikutan sepakan dan hantaran bola serta kawalan bahagian pertahanan lebih sukar, namun perubahan ini menggalakkan pemain untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Pertandingan berakhir dengan Muhammad Faid Mohd Said, 20, atau nama samaran dalam e-sukan Drako muncul juara dan menerima hadiah wang RM1,000, diikuti Muhammad Akhmal Roslan, 16, atau PRDGIAk512_Nova menerima RM500.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM250 dimenangi Rezaril Keiflin Keifli,18 atau FF ARIL dan Amirul Abdullah Nazri, 22, atau GS/Dakwos.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 11:58am
d