arena

Tok Gajah dapat suntikan Al-Ikhsan Sports

Oleh Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Syarikat barangan sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd memperluaskan pasaran mereka dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila sah menjadi penaja kepada Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) bagi musim 2019 dan 2020.

Ketua Pegawai Pemasaran Al-Ikhsan Sports, Mizal Ghazali menjelaskan jumlah keseluruhan tajaan itu kira-kira RM1.6 juta iaitu RM800,000 bagi satu musim.

"Peluang untuk menaja PBNP akan digunakan sebaiknya untuk memperluaskan pasaran jenama Umbro dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia. Kualiti produk Umbro akan dapat dilihat sendiri oleh pengguna dengan lebih dekat nanti," katanya.

Al-Ikhsan Sports adalah pemegang lesen pengedar dan pembuatan untuk jenama Umbro di Malaysia bermula akhir 2017 dan jenama itu akan digunakan Pahang bagi dua musim akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla pula yakin pihaknya akan menyediakan kelengkapan bola sepak berkualiti tinggi berdasarkan jenama antarabangsa seperti Umbro.

"Kita pasti akan dapat menyediakan kelengkapan berkualiti tinggi untuk Pahang seperti Everton dan West Ham United di Liga Perdana Inggeris," katanya.

"Kami juga yakin Pahang satu pasukan yang mempunyai ramai penyokong setia, sekali gus mampu membawa jenama Umbro untuk lebih terkenal di pasaran Malaysia." katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 10:18pm
d