mutakhir

Empat parah rebut parkir

Oleh Mohamed Farid Noh

EMPAT lelaki parah kerana berebut tempat parkir kereta dalam kejadian di Taman Flora Utama, Batu Pahat pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, keempat-empat mangsa berusia antara 21 hingga 38 tahun parah di bahagian kepala dan badan dipercayai dipukul dengan botol.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, sebaik menerima makluman awam, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati berlakunya pergaduhan di antara dua kumpulan dipercayai kerana tidak puas hati tempat parkir kereta antara mereka sehingga menyebabkan empat lelaki parah.

“Mangsa dipercayai dipukul dengan botol. Setakat ini, siasatan mendapati tiada sebarang pengaruh atau elemen kongsi gelap yang menyebabkan pergaduhan.

“Bertindak atas makluman awam dan siasatan, polis menahan 12 suspek berusia antara 21 hingga 47 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan dua kumpulan berkenaan.

“Mereka ditahan di sekitar daerah ini sejak malam semalam,” katanya hari ini.

Azhan berkata, semua suspek itu direman hari ini sehingga 24 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 8:41pm
d