mutakhir

Md Yusof dilantik Ketua JSJ Johor baharu

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TIMBALAN Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad dilantik mengetuai jabatan berkenaan berkuat kuasa hari ini.

Beliau diberi tanggungjawab itu bagi menggantikan ketua jabatan itu sebelum ini, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka.

Majlis serah terima tugas jawatan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor disaksikan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Md Yusof, 58, berpengalaman lebih 20 tahun dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Negeri Sembilan berhasrat meneruskan kesinambungan kejayaan dicapai oleh Kamaluddin, sebelum ini.

“Saya akan meneruskan kesinambungan yang dibuat selama ini dan menambah baik apa yang sudah ada supaya Johor terus aman dan selamat,” katanya.

Pada masa sama, Kamaluddin ketika berucap menzahirkan terima kasih atas kerjasama serta bantuan sepanjang menjadi Ketua JSJ Johor selama setahun dan 24 hari itu.

“Kerjasama dan bantuan semua pegawai atasan serta pasukan JSJ, membuatkan saya dapat berjuang menghadapi apa sahaja yang ‘melanda’ memandangkan Johor sebuah negeri yang penuh mencabar,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 2:58pm
d