mutakhir

Lagi kes pukul dan ugut isteri

Oleh Nur Saliawati Salberi

PADAH memukul, menumbuk dan mengugut isterinya, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh, Mohd Suffian Omar, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya berusia 37 tahun dengan cara memukul dan menumbuk kepala wanita itu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Pulau Gadong Perdana, di sini, pada 25 Disember tahun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan jaminan RM5,000 diberikan kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah yang rendah dibenarkan kerana mendakwa bayaran jaminan itu akan dibuat abang iparnya.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nazrin Ali Rahim, tertuduh sama turut tidak mengaku bersalah mengugut isterinya dengan berkata ‘biar semua dalam rumah mati’.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu kemudian dibenarkan diikat jamin RM3,000 selain mahkamah menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 5:54pm
d