utama

Anak buaya tembaga dilepas? [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

ANAK buaya tembaga yang dijumpai di Tasik Shah Alam, Seksyen 14, semalam dipercayai dilepaskan orang awam.

Ia berikutan siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor mendapati tasik itu tidak bersambung dengan mana-mana tasik atau sungai yang membolehkan buaya dari habitat liar masuk ke kawasan itu.

Sehubungan itu, PERHILITAN memasang dua pukat dalam usaha menangkap anak buaya tembaga terbabit.

Sumber PERHILITAN berkata, seramai enam anggota PERHILITAN dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan operasi menangkap reptilia dianggarkan berukuran 0.61 meter sejak pagi tadi.

Menurutnya, rondaan dijalankan secara pusingan dengan menaiki bot di sekitar tasik berkenaan.

“Sebanyak enam kali rondaan dijalankan sejak 10.30 pagi, bagi mengesan anak buaya berkenaan.

“Dua perangkap turut dipasang hari ini di sekitar tasik,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, pihaknya berjaya mengesan anak buaya itu kira-kira jam 4.15 petang tadi di sekitar air pancut di tasik berkenaan sebelum kelibatnya tiba-tiba hilang.

“Operasi ditangguhkan jam 5 petang dan akan disambung semula 8 malam sehingga 12 tengah malam ini.

“Berdasarkan pemerhatian, anak buaya ini masih kecil dan tidak boleh mencederakan manusia, tetapi pihak PERHILITAN akan menangkapnya secepat mungkin,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan anak buaya tembaga itu ditemui di atas pam air tasik itu pagi semalam.

Reptilia itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi sebelum menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Anak buaya 'sesat' di Tasik Shah Alam'

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 6:14pm
d