global

Jong Un bakal tiba Vietnam esok

Oleh AFP

DONG DANG: Stesen kereta api di sempadan Vietnam-China ditutup kepada orang ramai bagi memberi laluan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang dijangka tiba dengan kereta api menjelang sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump beberapa hari lagi.

AFP melaporkan, stesen itu dikawal rapi oleh pengawal bersenjata untuk menyambut kunjungan Jong Un yang berlepas dari Pyongyang menaiki kereta api warna hijaunya kelmarin.

Kereta api pemimpin itu merentasi Beijing dan menuju ke selatan Vietnam sebelum mengadakan pertemuan kedua dengan Trump selepas bertemu dalam sidang kemuncak di Singapura, Jun tahun lalu.

Sumber di Vietnam memberitahu, Jong Un dijangka tiba awal pagi esok di stesen sempadan Dong Dang selepas melalui perjalanan 4,000 kilometer selama dua setengah hari.

Pemimpin itu dikatakan akan menginap di sebuah hotel moden di Hanoi yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah penginapan kerajaan zaman kolonial yang menjadi lokasi sidang kemuncak pada 27 dan 28 Februari.

Dalam lawatan itu, dia dijadualkan melawat zon perindustrian di wilayah Quang Ninh dan Bac Nih yang menempatkan kilang Samsung.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 3:48pm
d