hati

Mengurangkan kesakitan lutut [METROTV]

Oleh Siti Zarinah Sahib

Masalah kegemukan dan kehidupan yang tidak aktif dalam kalangan golongan pertengahan usia dan warga emas menjadi punca utama meningkatnya sakit sendi lutut.

Bagi individu yang sering dilanda sakit lutut, kualiti hidup akan terjejas. Ini kerana ia menyebabkan rasa tidak selesa ketika berjalan, berlari, melakukan aktiviti harian, beriadah, sehinggakan menunaikan ibadat solat juga turut terganggu.

Menurut Jurulatih Kecergasan Bangi Fitness Norhaizum Mohamad, walaupun sakit lutut mungkin tidak pulih sepenuhnya dengan hanya bersenam, kesakitannya boleh dikurangkan apabila anda melakukan beberapa pergerakan tertentu.

“Pada masa sekarang sakit lutut tidak hanya dialami mereka yang sudah berusia. Wanita pada awal usia 40-an juga turut melaluinya disebabkan obesiti, salah mengangkat bebanan atau kecederaan akibat terjatuh.

“Untuk golongan ini mereka tidak boleh melakukan pergerakan yang keras dan pantas sebaliknya secara perlahan-lahan bagi meredakan kesakitan,” katanya.

Sebenarnya ada beberapa senaman yang boleh diamalkan secara konsisten di rumah. Cuba lakukan dengan tidak memaksa sebaliknya berhenti sekiranya sendi lutut berasa sakit. Berehat sebentar sebelum menyambung semula. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang tidak mustahil ia memberi keselesaan kepada lutut anda.

“Selain itu dapatkan

juga rawatan di hospital untuk mengetahui

sama ada lutut memerlukan rawatan menerusi ubat-ubatan atau hanya fisioterapi. Bagi individu obes, amalkan pemakanan sihat dan cuba untuk mengurangkan berat badan,” kata Norhaizum.

Petua meredakan sakit lutut:

Selain bersenam anda juga boleh menggunakan sebotol air suam dan tuam pada bahagian lutut. Biarkan botol berada pada lutut sehingga anda berasa selesa.

Mandi air suam selama 20 minit juga membantu meredakan kesakitan. Sapu krim panas sekiranya kesakitan bertambah kemudian berehat seketika daripada sebarang pergerakan.

Jika masih sakit ambil ubat penahan sakit atau ubat antiradang yang membantu meredakan dan menghilangkan kesakitan lutut. Namun pastikan anda mendapatkan nasihat doktor pakar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rawatan di rumah.

Gerakan kaki secara berdiri - gambar 1 &2

Pergerakan duduk di kerusi - gambar 3&4

Pergerakan sambil berbaring - gambar 5&6

Luruskan kaki ke atas - gambar 7&8

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 12:56pm
d