mutakhir

Leka berjudi sabung ayam

Oleh Garret Dawum

ENAM warga emas antara tujuh lelaki yang ditahan ketika asyik berjudi sabung ayam di ladang kelapa sawit di Niah, Miri, Ahad lalu.

Ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 33 hingga 72 tahun.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, ketika serbuan dilakukan, mereka sedang berkumpul dan mengelilingi gelanggang menyaksikan ayam bersabung.

“Apabila menyedari kehadiran polis, ada antara mereka bertempiaran melarikan diri.

“Polis berjaya memberkas tujuh lelaki,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, semalam.

Lim berkata, polis turut merampas satu unit alat penimbang, dua ayam sabung hidup, dua ayam sabung mati dan sekeping papan putih yang tercatat butir pertaruhan.

“Kesemua yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 3:28pm
d