mutakhir

Leka sabung ayam hingga tak sedar diserbu

Oleh Norsyazwani Nasri

LEKA bersabung ayam, 12 ‘tahi judi’ tidak sedar lokasi pertaruhan mereka di kawasan sunyi Jalan Pulau Kerto, Sibu diserbu polis semalam.

Dalam serbuan 3 petang itu, kaki sabung ayam berusia 26 hingga 70 tahun terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Koo berkata, operasi khas, Ops Dadu, itu dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu diketuai Inspektor Hairul Hussien bersama Inspektor Baharuddin Sabang.

Katanya, polis turut merampas enam ekor ayam hidup, tiga ekor ayam mati, satu unit alat penimbang, satu papan jadual pertaruhan, sebilah taji ayam dan wang pertaruhan RM113.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan & Penganiayaan Binatang (Sabung Ayam) 1962,” katanya.

Katanya, individu terbabit kini ditahan di lokap sementara menunggu proses siasatan selesai.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 3:10pm
d