mutakhir

Penoreh bimbang pendapatan terjejas

Oleh Ramli Ibrahim

LEBIH 300 penduduk Orang Asli di Kampung Sentok, Pos Hendrop, dekat Gua Musang, mendakwa sudah dua bulan tidak dapat menoreh getah kerana musim kemarau.

Mereka bimbang jika keadaan itu berlarutan, boleh menjejas kehidupan harian, kerana pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil getah.

Penduduk Orang Asli, Amir pandak, 38, berkata, jika mereka meneruskan untuk menoreh pada musim ini, ia dianggap membazir.

Katanya, ini kerana susu getah cair kerana daun gugur pada musim kemarau dan mungkin terpaksa menunggu beberapa bulan untuk dipulihkan semula.

“Nasib baik dapat menyimpan sedikit wang hasil jual getah sekerap sebelum ini untuk perbelanjaan keluarga musim kemarau ini.

“Walaupun fenomena kemarau itu berlaku setiap tahun, tetapi tahun ini paling lama hingga menjejaskan pendapatan kami yang bergantung pada menoreh getah.

“Bagaimanapun, kami menyambut baik pengumuman Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk memberi subsidi kepada setiap pekebun getah,” katanya.

Penduduk, Jemeur Alang, 55, pula berkata, pendapatan penoreh getah terjejas teruk bukan sahaja kerana musim kemarau panjang tetapi juga harga jatuh.

Katanya, kalau sebelum ini dia pernah memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan, tetapi sekarang hanya sekitar RM600 sebulan.

“Mungkin sekiranya ada bantuan daripada kerajaan kepada pekebun kecil dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga.

“Kami sedih juga apabila harga getah di pasaran begitu rendah hingga pendapatan sebulan tidak cukup,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 11:06am
d