global

Sewa papan iklan untuk putus hubungan

Oleh Agensi

Semarang (Indonesia): Kerana kecewa selepas kekasihnya berlaku curang, seorang lelaki bertindak menyewa papan iklan yang dipasang di satu persimpangan yang sibuk di bandar ini bagi memaklumkan dia memutuskan hubungannya dengan wanita itu.

Merdeka.Com melaporkan, papan iklan itu turut memaparkan wajah kekasihnya dengan mesej “Risna Rahmatika. Kamu sudah kecewakan aku, kamu sudah selingkuhin (curangi) aku. Aku mahu putus".

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu juga dilihat berdiri di tepi persimpangan jalan berkenaan dan menceritakan mengenai hubungannya dengan wanita berkenaan menggunakan pembesar suara.

Menurut laporan berkenaan, wanita itu yang mendapat tahu mengenai tindakan kekasihnya itu segera ke persimpangan jalan berkenaan dan berlaku pertengkaran antara mereka.

Beberapa video yang dirakam pengguna jalan raya menunjukkan wanita itu memarahi dan mengarahkan lelaki berkenaan segera menurunkan iklan itu.

Video berkenaan segera tular di media sosial di Indonesia dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna.

“Bercinta memerlukan belanja yang banyak dan mahu putus juga memerlukan belanja yang besar,” kata seorang pengguna.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 3:31pm
d