mutakhir

Peragut tumpas akhirnya...

Oleh Nur Izzati Mohamad

MEMERHATI gerak geri wanita sudah berusia turun dari kenderaan kemudian meragut dan menyamun barangan berharga milik mereka.

Itu modus operandi lelaki berusia 30 tahun sejak beberapa bulan lalu dalam melakukan jenayahnya di sekitar Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya melancarkan Op Rentap 1.15 pagi kelmarin susulan laporan polis yang diterima daripada seorang mangsa memaklumkan dia diragut Jumaat lalu.

“Mangsa mendakwa dia yang hendak keluar dari kereta tiba-tiba didatangi suspek yang memukul belakang badan sebelum melarikan beg tangan miliknya.

“Hasil maklumat dan risikan polis akhirnya berjaya menjejaki suspek dan dia ditahan di hadapan sebuah flat dekat Taman Pantai Bersih untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara hari ini.

Noorzainy berkata, suspek yang menunggang motosikal pada mulanya mahu meloloskan diri bagaimanapun dia gagal berbuat demikian berikutan ketangkasan dan kecekapan pihak polis.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek terbabit dalam lima kegiatan ragut dan samun di sekitar daerah itu.

“Semua mangsa membabitkan golongan wanita berusia antara 50 hingga 70 tahun.

“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah ragut dan dadah,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 dan 392 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 3:30pm
d