mutakhir

Keputusan SPM Kedah bertambah baik

Oleh Aizat Sharif

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 negeri Kedah mencatatkan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu sebanyak 5.05 berbanding 5.07 pada 2017.

Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman berkata, 378 daripada 32,003 calon peperiksaan itu berjaya memperoleh semua Gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

“Daripada 378 calon itu juga, tujuh daripadanya mendapat pencapaian cemerlang tertinggi dengan memperoleh keputusan A+ bagi semua mata pelajaran.

“Selain itu, pencapaian keseluruhan calon luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding calon bandar iaitu sebanyak 0.08 berbanding hanya 0.04 dari segi perbezaan nilai GPN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pencapaian SPM 2018 peringkat Kedah di Sekolah Menengah Sains (SMS) Kubang Pasu, hari ini.

Katanya, terdapat 13 sekolah di negeri itu yang berjaya mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) bawah daripada 3.0.

“SMS Sains Kubang Pasu diisytiharkan sebagai sekolah terbaik dalam SPM kali ini.

“Manakala pelajar, Opi Shi Ern dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa 1, Alor Setar, Ng Wen Jia dari SMK Dato Bijaya Setia, Ng Woon Yee, Beh Qian Jun dan Khong Yi Fei sari SMK Sin Min, MS Kayalvoli dari SMK Kulim dan Arminder Singh Punn Maninder Singh dari SMK Sultan Badlishah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan cemerlang semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 7:12pm
d