mutakhir

Operasi syarikat feri terbakar dibatalkan

Oleh BERNAMA

JABATAN Laut Malaysia membatalkan semua operasi perjalanan feri penumpang milik syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd bagi laluan Pulau Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Perlis berkuat kuasa semalam.

Jabatan Laut Malaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan berikutan pembatalan operasi itu, syarikat berkenaan dilarang untuk menjalankan sebarang pengoperasian feri penumpang di Terminal Penumpang Kuah, Langkawi; Terminal Penumpang Kuala Kedah dan Terminal Penumpang Kuala Perlis.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada semakan terhadap rekod perkhidmatan syarikat dan tahap pengurusan keselamatan feri penumpangnya yang tidak memuaskan serta boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang,” katanya di Alor Setar.

Pada 25 Feb lalu, 52 penumpang feri Dragon Star 1 berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis, sebelum diselamatkan oleh bot dan feri lain yang berada berdekatan.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 10:21pm
d