mutakhir

Jengkaut terbakar angkara samseng?

Oleh Sharul Nazri Zulkifli Chow

KEBAKARAN jengkaut di kawasan perumahan awam di Jinjang Utara, semalam, dipercayai didalangi kumpulan samseng.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, siasatan awal dilakukan pihaknya mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran itu.

“Kami menerima laporan jengkaut dibakar, semalam. Kami percaya ia ada kaitan dengan kegiatan kumpulan samseng.

“Dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu juga sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Polis ke-212 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 1.17 tengah hari, semalam.

“Seramai tujuh anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dikerahkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak sebelum ia berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian.

“Kebakaran itu hanya membabitkan tempat duduk jengkaut terbabit dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 12:52pm
d