mutakhir

Munajat bebas Palestin

Oleh Yusmizal Dolah Aling

DEMI keamanan dan pembebasan Masjidil Aqsa, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menganjurkan Bacaan Yasin Sejuta Umat #Yaasin4Aqsa Khamis ini bagi mendoakan masjid ketiga suci bagi umat Islam itu bebas dari cengkaman tentera zionis.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, majlis pelancarannya akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Negara dan ia diadakan serentak di seluruh negara.

Menurutnya, kempen solidariti terhadap perjuangan dan pembelaan Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah bersandarkan ayat al-Quran dan pihaknya menyasarkan satu juta umat Islam di negara ini bersama-sama membaca Yasin demi pembebasan itu.

Katanya, sekretariat #Yaasin4Aqsa juga sudah menjelajah di masjid dan surau seluruh Malaysia bagi menjayakan program itu.

“Kita juga menyediakan ruang untuk orang ramai infaq menerusi jualan buku Surah Yasin dan Kebangkitan Ummah berharga RM15 yang mana ia juga akan disalurkan ke dalam tabung infaq Aqsa.

“Mereka yang berminat boleh menghulurkan sumbangan menerusi akan Bank Rakyat MAPIM 110031001285 dan datang beramai-ramai ke masjid pada hari itu.

“Bersama-sama kita berdoa, mudah-mudahan masjid kita akan dipelihara daripada sebarang bentuk pengambilalihan oleh Israel.

“Menerusi rakan gabungan di luar negara, kita juga minta mereka bersama-sama membaca Yasin pada malam itu kerana ini adalah bukti, betapa kita sayangkan Masjidil Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam,” katanya.

Pada 14 Mac lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Kor Agama Tentera (KAGAT) dengan kerjasama Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), Yayasan Restu, AL-Quds Foundation, Kumpulan Nasyid (INTEAM) menjayakan program Pra Pelancaran Yaasin4Aqsa di Masjid Khalid Al-Walid yang dirasmikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Situasi di Jerusalem semakin memuncak sejak Februari lalu selepas Presiden Majlis Waqf, Sheikh Abdel-Azeem Salhab, bertindak memecahkan kunci dan lebih 40,000 rakyat Palestin memasuki Bab al-Rahma untuk menunaikan solat Jumaat buat pertama kali selepas ditutup Israel sejak 2003.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 6:42pm
d