mutakhir

'Main belasah je pemandu pikap ni....'

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang memandu secara berbahaya di lorong kecemasan di Kilometer 262 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Seremban, semalam.

Penahanan lelaki terbabit dilakukan susulan video berdurasi 33 saat yang tular media sosial menunjukkan pikap berkenaan dipandu secara merbahaya dan terus masuk ke lorong kecemasan dalam kejadian pada 4.30 petang Ahad lalu.

Kejadian menyebabkan penunggang motosikal datang dari arah belakang hilang kawalan sebelum terjatuh ke bahu jalan ketika mengelak daripada melanggar pikap berkenaan.

Difahamkan kejadian menyebabkan penunggang motosikal berkenaan cedera selain patah jari kaki kiri.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu kenyataan berkata, hasil siasatan Unit Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman berjaya mengesan pemandu kenderaan berkenaan.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tidak melebihi tempoh lima tahun serta didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000," katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 1:33am
d