mutakhir

Setiausaha politik menteri direman empat hari

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SETIAUSAHA politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung menerima suapan berbentuk seutas jam tangan dianggarkan RM28,000.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal di Mahkamah Majistret Putrajaya bermula hari ini sehingga 5 April.

Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek tiba jam 9.10 pagi dibawa oleh pegawai SPRM ke mahkamah dengan berbaju lokap.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan, suspek berusia 47 tahun itu ditahan jam 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kelolaan sebuah kementerian.

Pada masa sama, semalam media melaporkan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan SPRM berhubung penahanan setiausaha politiknya hari ini.

Menerusi kenyataannya, beliau dimaklumkan mengenai penahanan setiausaha politiknya itu.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 11:33am
d