mutakhir

Kanak-kanak OKU maut terjatuh tingkat 2

Oleh Garret Dawum

KANAK-KANAK lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah kuarters di Tanjung Lobang, Miri semalam.

Dalam kejadian 2.15 petang, mangsa, Muhammad Razzan Madhani Abdul Hamid, 5, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Miri akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mangsa menghidap autisme non verbal.

Menurutnya, ibu mangsa memberitahu kanak-kanak itu ditinggalkan sendirian dan sedang menyusu di bilik utama, sementara dia berada di dapur.

“Namun, apabila dia kembali, wanita itu terkejut apabila mendapati mangsa tiada di dalam bilik dan melihat tingkap terbuka.

“Dia segera berlari ke arah tingkap yang terbuka serta melihat ke bawah dan mendapati anaknya sudah terbaring di atas simen,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, wanita itu terus menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Miri, dan disahkan meninggal dunia kerana ada kesan luka di kepala.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 5:43pm
d