ekstra

Tempah kereta kalis peluru

Oleh Agensi

PILIHAN raya umum India ialah proses demokrasi terbesar di dunia tetapi ia juga dianggap antara tempoh paling bahaya untuk ahli politik.

Setiap kali musim pilihan raya, bengkel kereta di India sibuk mengubah suai kenderaan bagi menjadikannya kalis peluru yang ditempah ahli politik bagi memastikan keselamatan mereka.

Sebelum ini, Perdana Menteri India pernah dibunuh dan konvoi kenderaan ahli politik serta pegawai parti politik diserang.

Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India menunjukkan lebih 100 ahli politik atau pegawai parti dibunuh pada 2016.

Pemilik sebuah bengkel kereta di Jalandhar, Sunchit Sobti, berkata tempahan untuk kereta berperisai khas meningkat menjelang musim pilihan raya.

Pekerjanya bertungkus-lumus siang dan malam memasang cermin kalis peluru serta perisai pada empat kenderaan utiliti sukan untuk pemimpin politik.

Sobti meneruskan tradisi bapanya yang memulakan perniagaan membekalkan kereta berperisai untuk ahli politik dan orang kenamaan pada 1980-an ketika pemberontakan bersenjata meningkat di Punjab.

“Pilihan raya kali ini lebih besar dan dianggap ibu kepada semula pilihan raya.

“Semakin besar perkara itu, semakin besar risikonya dan ahli politik ini mahu memastikan keselamatan mereka. Kami menyiapkan tempahan ini sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Katanya, bukan calon politik saja menempah kereta kalis peluru, malah pegawai kerajaan atau pilihan raya juga tidak ketinggalan apabila bimbangkan keselamatan mereka.

Kos ubah suai menjadikan kenderaan awam menjadi kalis peluru antara AS$7,000 (RM28,631) hingga AS$70,000 (RM286,284).

Ubah suai untuk memasang cermin kalis peluru yang diimport dan plat besi mampu menahan letupan bom tangan serta tembakan mengambil masa selama beberapa minggu.

Kebenaran menjadikan kenderaan itu sah digunakan di jalan raya turut mengambil masa lama tetapi bagi pelanggan ia berbaloi.

“Kejayaan dan cemburu adalah dua faktor yang menjatuhkan anda.

“Kawan pun tidak boleh dipercayai, apatah lagi musuh. Saya tidak boleh berkompromi dengan keselamatan saya,” kata ahli politik di Punjab yang mempunyai kenderaan kalis peluru.

Pemberontakan bersenjata yang masih aktif di sekurang-kurangnya sembilan negeri di India dari wilayah Kashmir hinggalah ke utara negara itu yang penuh dengan hutan mewujudkan suasana berisiko tinggi kepada pegawai parti dan calon pilihan raya.

Pada 2013, 25 pemimpin Parti Kongres dibunuh selepas konvoi kenderaan mereka diserang hendap pemberontak Maoist di Chhattisgarh ketika negeri itu bersedia mengadakan pilihan raya tempatan.

Di wilayah yang bebas daripada pemberontakan, permusuhan antara dua parti yang bertelagah boleh menyebabkan kematian.

Lebih 12 pemimpin daripada beberapa parti politik berbeza di Kerala dibunuh dalam tempoh tiga tahun.

Sebahagian ahli politik juga mempunyai rekod jenayah dengan lebih 12 calon yang menang dalam pilihan raya umum 2014 pernah didakwa atas tuduhan membunuh atau cubaan membunuh.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 12:04pm
d